JANOS

JANOS
Selamat Datang

Thursday, March 5, 2009

DUNIA JONI - EPISOD 22

KLIK UNTUK MEMBACA DUNIA JONI DARI AWAL

EPISOD 22

“Bagaimana Mona tahu Bob dah mati?”, soal Sarah tanpa berselindung lagi.

“Alah korang ni.... aku kan dikuarantin di Unit Kambing, Jabatan Haiwan. Hari Bob ditemui tu, tiba-tiba aku nampak Pak Maarof, Manap, Latip dan Tauke Wong datang. Mulanya aku ingat datang nak ambil aku, rupanya mereka membawa bangkai Bob untuk dibedah siasat untuk mengetahui punca kematian. Takut-takut juga keracunan ke apa ke. Rupanya Bob mati lemas, dan ada kesan lebam di pinggang kiri Bob seperti kesan sepakan. Pakcik John pun aku nampak datang juga hari tu. Sempat juga kami yang dikuarantin ni bersembang dengan Pakcik John. Hilang sebentar rindu kepada kampung kita ni. Dan Pakcik John pun dah ceritakan semuanya, dari Joni dan Albert bergaduh, hinggalah Pakcik Mugabe sepak Bob dan dia bermalam di reban ayam Encik Senapi”.

Panjang lebar Mona bercerita. Kagum Joni dibuatnya dengan kepetahan Mona. Sesuai benar kalau Mona jadi pengacara televisyen. Cuma badannya yang agak gempal mungkin menyebabkan dia akan gagal semasa uji bakat.

“Jadi kau dah tak sedih lah ni?”, Joni pula menyoal Mona.

“Pada hari kejadian tu memang la aku sedih sangat.... aku tahu korang pun sama kan? Tapi sekarang aku dah ok.... dah terima hakikat Bob tiada lagi....”, jawab Mona.

Lega Joni dan Sarah mendengarnya. Tapi mereka tahu, jauh di sudut hati Mona, dia terlalu sedih akan kehilangan Bob. Sedih seperti mereka juga. Tetapi mereka sedar, yang pergi telah pergi.... mereka yang masih hidup ini perlulah meneruskan kehidupan...

Dua minggu selepas itu, masa untuk melaksanakan hukuman terhadap Mugabe telah tiba... Dalam dunia perkambingan, hukuman bagi kes seperti yang dihadapi Mugabe ialah dengan hukuman mati juga... Dalam hal ini, Mugabe perlulah menyerahkan diri ketika Pak Maarof perlukan kambing untuk disembelih...

Khabarnya, sehari dua lagi, Pak Maarof mahu mengadakan kenduri doa selamat sempena pertunangan Latip dan Ramlah.

Ya!!! Latip Bin Haji Abdul Rahman hendak masuk meminang Ramlah Binti Maarof. Dan Pak Maarof tentunya tidak menghalang niat baik Latip itu. Yelah, dah lama dia kenal Latip, dan sudah pun menganggap Latip seperti anaknya sendiri. Begitu juga Manap, juga dianggap seperti anak sendiri walaupun pernah beberapa kali menggelarkan Manap dengan pencuri, penjenayah dan sebagainya, tapi jauh di lubuk hati, dia amat sayangkan dua anak muda itu.

Sehari sebelum majlis berlangsung, Joni lihat pakcik Mugabe agak gelisah. Mungkin dia menyedari bahawa usianya akan tamat pagi esok. Tentunya sesiapa sahaja pasti akan menggelabah tidak tentu arah jika sudah tahu bila akan mati. Seperti para pesalah yang diberitahu tarikh akan ke tali gantung, mungkin cuma menunggu andainya ada pengampunan di saat akhir sahaja. Jika tidak, terpaksalah dipapah, diheret dan dibawa ke tali gantung dengan lemah longlai....

Malam itu, Joni lihat pakcik Mugabe mengatakan sesuatu kepada Adigun. Mungkin memberikan amanat untuk menjaga keluarga barangkali... Agak lama dua beranak itu berbual. Namun Joni tidak tahu apa yang dibualkan.

Tiba-tiba Joni lihat Albert pula dipanggil untuk turut serta. Kini Mugabe, Adigun dan Albert seperti serius berbicara. Joni tidak tahu apa yang mereka bualkan, tetapi yang menambahkan misteri, selepas itu, tidak semena-mena Albert mengamuk, marah-marah dan menangis sambil memandang sayu ke arah rumah Sarah....

Apa sebenarnya ni? Joni tak faham... apa pula kaitan keluarga Sarah dalam hal ni???


KLIK UNTUK MEMBACA DUNIA JONI SAHAJA

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!