JANOS

JANOS
Selamat Datang

Saturday, March 14, 2009

DUNIA JONI - EPISOD 24 - SEASON FINALE

KLIK UNTUK DUNIA JONI SAHAJA

EPISOD 24 – SEASON FINALE

Kini sudah sebulan Mugabe melaksanakan hukumannya. Hukuman yang diputuskan setelah dia mengaku bersalah membunuh Bob. Hutang nyawa dibayar nyawa.

Walaupun telah sebulan berlalu, Joni masih tertanya-tanya apa yang dibisikkan di antara Mugabe dan Albert pada malam sebelum hukuman dilaksanakan. Joni amat ragu dan inginkan kepastian mengapa mereka berbisik dan kemudian menoleh ke arah rumah Sarah? Adigun juga ada bersama ketika itu. Joni menjadi amat risau tentang pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku melibatkan Albert dan Sarah seperti yang dibisikkan Mugabe.

Janganlah pula Mugabe mewasiatkan agar Albert berkahwin dengan Sarah, tetapi Albert menolak sampai mengamuk dan marah-marah kerana Albert tidak mahu. Jika itu, baguslah kerana Albert tidak mahu. Tapi bagaimana pula jika Mugabe berpesan supaya jangan ganggu Sarah tetapi Albert engkar hingga mengamuk dan marah-marah dan terus memasang untuk mendapatkan Sarah walau dengan apa cara sekalipun? Tetapi risau juga Joni, jika Mugabe berwasiat Albert harus memiliki Sarah, tiada apa lagi yang dapat dilakukan walau Albert menolak. Wasiat wajib dilaksanakan!

Aduh... pening Joni memikirkannya. Hendak tanya Adigun, takut pula dia. Apatah lagi tanyakan terus kepada Albert, lagilah tidak akan mendapat jawapan. Hendak berkongsi apa yang dia nampak dengan Sarah dan Mona, pasti dia akan diketawakan kerana berfikir bukan-bukan.

Walau apapun, dia amat yakin Albert juga sedang merancang sesuatu. Manakan tidak, sejak kes kematian Bob, Albert langsung memencilkan diri. Tidak langsung mengganggu Joni. Walaupun Joni agak lega dengan perkembangan itu, namun dia agak gusar memikirkan apa yang ada dalam benak musuh ketatnya itu. Risau juga Albert merancang sesuatu dan pada bila-bila masa rancangan itu akan dilaksanakan.

Rimas Joni, amat rimas memikirkan apa perancangan Albert seterusnya. Sambil Joni juga saban waktu telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Jika Albert datang cara baik, dia akan sambut cara baik. Dan jika Albert datang membawa maut, Joni juga sudah bersedia untuk membuat penghitungan terakhir. Biar sengketa antara Joni dan Albert selesai secepat mungkin, tidak lagi Joni sentiasa dalam keadaan tertanya-tanya dan ragu-ragu seperti ini.

Lima puluh hari selepas kematian Mugabe, masa yang Joni tunggu-tunggu pun tiba. Pagi itu Joni mendapat satu pesanan bahawa Albert ingin bertemu dengannya di bawah pokok kemboja. Pesanan itu disampaikan oleh Roni, adik Albert. Gelisah juga Joni pada mulanya, namun dia dapat mententeramkan diri setelah memikirkan segalanya pasti terjawab hari ini. Semua persoalan yang bermain di mindanya pasti diketahui hari ini. Sedar tak sedar, dalam dia berfikir itu, dia sudah berada di bawah pokok kemboja yang dimaksudkan..... dan Albert telah sedia menunggunya....

“Joni....”, lemah Albert menyapa. Lega juga Joni kerana Albert agak relaks. Ini membuatkan Joni lebih yakin pertemuan ini tidak akan berakhir dengan pertumpahan darah. Namun Joni bersedia akan sebarang tindakan Albert seterusnya yang mungkin berlaku. Joni tidak akan leka. Dia sentiasa memasang kekuda sekiranya Albert berhajat untuk menerpa.

“Joni.... kini telah lima puluh hari bapa aku, Mugabe pergi. Dan hari ini jugalah aku akan selesaikan segalanya dengan kau”. Sambung Albert.

Joni makin bingung. “Apa yang hendak diselesaikan?”.

“Hal aku, kau dan Sarah. hal yang bapaku wasiatkan pada malam sebelum perlaksanaan hukumannya”, balas Albert.

Ya!! Benarlah selama ini jangkaan Joni. Semuanya ada kaitan dengan Sarah, kekasihnya itu.

“Sebenarnya Joni, aku harap kau merahsiakan hal ini. Ini melibatkan maruah aku, Mugabe dan juga ketua keluarga yang lain. Apa yang aku hendak katakan ini amat mengaibkan. Hanya ketua-ketua keluarga iaitu bapa-bapa kita yang tahu. Hal ini telah lama diketahui, cuma ianya tidak dihebohkan”.

Aduh... makin pening Joni memikirkan, namun dia hanya berdiam menunggu apa yang Albert hendak nyatakan.

“Kau pun tahu kan, dari dulu lagi aku amat sukakan Sarah. Memang aku telah jatuh cinta kepadanya dari awal lagi.... dan sebab Sarah jugalah aku amat bencikan kau kerana Sarah ternyata lebih sukakan kau. Hinggakan aku pernah bersumpah, jika aku tak dapat Sarah, kambing lain pun takkan dapat Sarah”, panjang Albert menceritakan hal yang Joni telah tahu. Makin berdebar pula Joni hendak mengetahui apa wasiat dan pesanan terakhir Mugabe.

“Aku tahu semua tu”, balas Joni cuba menghidupkan suasana.

Albert menyambung, “apa yang pasti, selepas ini kau tidak perlu lagi risau akan aku dari mengganggu hubungan kau dan Sarah. Aku bukan diciptakan untuknya ”.

“Apa maksud kau ni Albert? Adakah kau mengundur diri dari memiliki Sarah dan melepaskannya kepadaku?”.

“Aku terpaksa Joni. Seperti aku katakan kami memang tidak layak bersama”.

“Tapi mengapa???”. Joni makin tidak sabar.

“Aku harap kau rahsiakan hal ini”.

“Aku janji. Tiada kambing lain selain ketua keluarga dan kita berdua yang tahu”, Joni berikrar.

“Sebenarnya aku bukanlah anak Mugabe.....” jawab Albert.

“Apa???!!!”

“Ya, aku sebenarnya anak David. David ialah bapa kandungku. Dia pernah bersama dengan ibuku, Maria. Tetapi demi menutup aib pada masa itu, semua ketua keluarga sepakat agar aku berada di rumah Mugabe kerana ibuku Maria adalah isteri Mugabe. Dan aku dengan Sarah adalah sepupu.... kami sememangnya tidak boleh berkahwin. Hanya kau yang sekupu dengan Sarah boleh berkahwin dengannya". (episod 4)

Joni terlopong....

“Itulah yang Mugabe katakan padaku pada malam sebelum dia dijatuhkan hukuman. Maka dengan ini, aku harap sengketa antara kita berakhir dan aku doakan agar kau berbahagia dengan Sarah”. jawab Albert menutup bicara.

Dan tidak semena-mena Joni rasakan ada air jernih mengalir di pipinya. Air jernih yang mengalir menandakan dia telah beroleh kemenangan...........................

Dan pastinya, hari-hari Joni selepas ini pasti akan berubah tanpa gangguan Albert..........

TAMAT

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!