JANOS

JANOS
Selamat Datang

Thursday, May 27, 2010

Maaf... Tanya Orang Lain....

Salam,

Satu benda yang aku kurang gemar ialah apabila seseorang kawan bertanyakan perihal kawan yang lain kepada aku. Sebagai contoh, A jumpa/bersembang dengan aku, tetapi dok bertanya tentang X... apa X buat sekarang, X kerja mana, X sihat ke dan sebagainya.

Kadang-kadang bukan aku tak tahu X di mana, apa X buat... tetapi bila A mula bertanya soalan yang lebih mendalam tentang X, aku mula tidak selesa... sebabnya aku takut jawapan aku tu silap dan menyebabkan A bersangka tertentu terhadap X, dan membuat persepsi tentang X berdasarkan jawapan aku tuh...

Jadinya, sebagai langkah selamat, aku hanya menjawab soalan asas sahaja, contohnya "setahu aku, X rumah kat Sungai Buloh", "entah, kerja tempat lama lagi kot" atau "aku pun dah lama tak jumpa dia". Lebih-lebih dari itu, aku malas nak bagitau, sebabnya mungkin X hanya bercerita dengan aku, untuk pengetahuan aku semata-mata.

Juga untuk mengelak memberikan maklumat yang silap seperti aku nyatakan tadi, yang mana kadang-kadang aku mendapat tahu mengenai X bukan secara primer, tetapi sumber sekunder dari pihak lain yang aku rasakan tidak perlu aku ulas atau beritahu kepada A.

Apapun, ada pengecualian mengenai 'polisi' aku ni, terutama melibatkan hal-hal serius; contohnya "ehh... hang tak tahu ke, X masuk hospital dah 2 bulan", atau lain-lain maklumat yang sepatutnya semua kawan tahu.

Jadi, oleh itu... sekiranya aku jawab tak tahu apabila ditanya soalan tentang orang lain, andaikan sahaja aku malas nak bercerita tentang orang lain atau paling mudah, memang aku tak tahu!

Jumpa lagi... :-)

Tuesday, May 25, 2010

Kawan Lama...

Sekali sekala bertemu kawan lama, memang menyeronokkan. Tambahan pula jika kawan itu telah lama tidak berhubungan malah boleh dikatakan terputus hubungan sekian lama. Maka banyaklah hal yang hendak diceritakan, banyaklah perkara untuk dikenang, banyaklah juga kenangan untuk disingkap.

Kesibukan dan rutin harian yang berbeza, telah menyebabkan aku dengan beberapa kawan lama boleh dikatakan terputus hubungan. Ada yang menjangkau sehingga puluhan tahun. Maklumlah, ada yang begitu rapat di sekolah rendah, apabila masing-masing membawa haluan sekolah menengah, maka persahabatan terputus tanpa disedari, sambil membina persahabatan baru, di tempat baru.

Bukan masing-masing tidak mengingati satu sama lain, namun seperti aku nyatakan di atas; kesibukan dan rutin seharian serta melalui fasa lain dalam kehidupan menyebabkan kita terasa sukar untuk menjejak semula kawan-kawan lama. Padahal, ada masa tertentu, kita pasti akan terkenang kawan, sahabat kita itu dahulu.

Perkara ini merupakan lumrah bagi kita. Aku beranggapan dan berpendapat, suatu masa nanti kita pasti akan bertemu semula dengan kawan-kawan lama, sama ada dirancang atau secara kebetulan. Bagi yang berusaha, pasti lebih cepat untuk menjejak kawan-kawan lama walau di mana sahaja mereka berada.

Suka untuk aku menarik perhatian, kewujudan Facebook yang menjadi satu fenomena dewasa ini, hampir memudahkah kita untuk menjejak kawan lama. Bukan niat untuk mengiklan Facebook (sebab bukannya dibayar pun) tetapi inilah salah satu cara yang membolehkan silaturahim bertaut kembali setelah sekian lama terpisah.

Disebabkan Facebook juga, aku dapati semakin banyak majlis-majlis reunion di atur semasa kelumpuk tertentu yang berkaitan. Mungkin dari kelas semasa sekolah, hinggalah reunion bagi mereka yang pernah bertugas dibawah satu bumbung. Perkongsian maklumat dan bertukar pendapat juga rancak berlaku sehingga kita merasakan kawan-kawan berada berdekatan sahaja dengan kita walau hakikatnya cuma bersembang di alam maya.

Begitu juga halnya dengan kelas aku semasa di SPM dahulu seperti telah aku ceritakan terdahulu. Kami berjaya bertaut kembali di dalam majlis reunion dengan ceria dan gembira. Dari situ, dapatlah pula bertukar-tukar maklumat, kepakaran atau idea tentang sesuatu perkara. Boleh pula tolong menolong, menjalin kerjasama dan sebagainya bagi yang menjalankan perniagaan. Hasilnya memang membangga dan menyeronokkan!

Bayangkan, rakan sekelas yang hampir 15 tahun tidak bertemu, tidak bertegur sapa, masih boleh bersembang, bergelak ketawa dan usik mengusik seperti 15 tahun dahulu, walaupun kita semuanya telah dewasa, berkeluarga dan pengalaman yang berbeza.

Aku tidak menafikan malah bersyukur apabila dapat bertemu dan berhubung kembali dengan rakan-rakan lama. Jika dahulu aku merasakan agak rendah diri memandangkan pencapaian dalam kerjaya tidaklah seberapa, namun sekarang aku ketepikan semua perasaan itu kerana tiada siapa yang akan memperkecilkan satu sama lain. Siapa yang kurang akan dibantu, sekadar termampu. Siapa yang lebih pula, tidak lokek untuk bertukar pendapat agar kawan lama juga beroleh kejayaan.

Dalam berkawan, aku sentiasa berpegang kepada prinsip baik kepada semua orang. Orang kata hidup umpama roda, kita tidak tahu bila kita akan di atas atau bila kita akan dibawah. Mungkin sedikit pertolongan yang kita hulur semasa zaman sekolah dahulu seperti cuma meminjamkan pensel, akan dikenang oleh pihak yang dibantu sepanjang hayatnya. Mungkin kita tidak mendapat balasan dari orang yang sama, namun percayalah mungkin pihak lain akan membantu di kala kesusahan.

Kadang-kadang juga, aku merasa pelik dengan sesetengah kawan aku yang bertanya "hang berkawan lagi dengan si polan?" dengan nada pelik. Bagi aku mudah sahaja. Jangan pelik dengan siapa aku berkawan, kalau anda tidak berkawan dengan orang itu. Aku berkawan bukan sebab sesuatu kepentingan, aku berkawan sebab aku mahu berkawan. Biarlah bukan jumpa seminggu sekali, biarlah bukan setahun sekali, mungkin tak jumpa langsung, tetapi aku tidak pernah menyingkirkan seseorang dari senarai kawan.

Perubahan zaman, perubahan status dan perubahan persekitaran telah menyebabkan kawan-kawan lama sukar dijejak. Walau apapun, aku amat menghargai sebarang usaha untuk menemukan semula kawan-kawan lama. Kerana tanpa kita sedari, kita sebenarnya bersaudara di antara satu sama lain malah boleh pula membaca fikiran masing-masing :-)

Cap Ayam - Episod 4

Bila mereka juga bersifat kita....

Cap Ayam - Episod 4

“Ekor-ekor Alo Breng dah melampau!”, mula Siki.... kalau manusia, pasti disebut orang-orang, bukannya ekor-ekor...

“Siapa? Kenapa?”, tanya Riki, takut-takut kerana tidak tahu cerita....

“Itulah, Al Nana nampak mereka dua-tiga ekor baling sarang kerengga ke dalam rumahnya.....”, sambung Siki.

“Betul... aku yakin.. aku nampak Chiko Breng pun ada sama... kurang ajar betul... habis anak-anak aku menangis kena kerengga.... Siaplah korang nanti!!!”, bentak Al Nana pula... marah benar nampaknya. Yelah, rumahnya dibaling kerengga, sarang pula tu... pasti jenuh isterinya hendak mengemas. Mana nak tengok anak-anak lagi, mungkin ada yang cedera...

“Ayah dah tahu belum?”, tanya Riki pula....

“Ayah takde... dia pergi Timur dengan Tesi awal pagi tadi... Jumpa Papa Andon... Mana nak sempat beritahu... kita kena serang sekarang juga ni!!! Hutang kerengga mesti di balas kerengga!!!” Siki menaikkan semangat pengikut Don Sambora. Baru Riki teringat bahawa ayahnya dua hari lalu telah memberitahunya dia akan ke Timur atas urusan perniagaan berjumpa Don Andon.

“Sekejap-kejap.... nanti dulu....” Riki berkata, dan semuanya berhenti berjalan.

“Apa lagi?”, soal Siki.

“Kita tidak boleh bertindak melulu... Kita tidak boleh membelakangkan Don Sambora... kita kena tunggu arahannya... mungkin dia mempunyai perancangan yang lain... Ataupun mungkin kita tangguhkan dahulu sementara Ayah balik...”, cadang Riki.

“Kau nak tunggu apa lagi? Rumah Al Nana dah kena serang... kalau kita tak ajar mereka, mungkin malam ni rumah aku, rumah kau, rumah ayah juga akan kena... walaupun rumah kita sama sebenarnya, tetapi sengaja aku sebut satu persatu biar panjang dan nampak betul-betul marah!!! Apa, kau takut ke? Kau tak simpati kepada Al Nana? Kau nak biarkan ekor-ekor Breng tu tunjuk lagak?”, merah padam muka Siki mengingatkan nasib yang menimpa Al Nana...

“Jom lah... kita serang mereka... bagi mereka tahu sikit tentang urusan keluarga Sambora!!! Siapa takut, jangan ikut!!!” sambung Siki.

Riki tahu mereka semua tengah marah. Riki tahu abangnya itu seekor yang panas baran. Makin dihalang, makin menjadi pula dia. Ayahnya sahaja yang boleh menasihatinya, kalau ekor lain, jangan haraplah...

Riki mengikut juga gerombolan diketuai Siki itu menuju perkampungan Alo Breng... Memang Riki marah, memang Riki simpati apa yang berlaku kepada Al Nana... tetapi Riki sedar, bertindak tanpa arahan Don Sambora ibarat ingkar kepada arahan Don itu sendiri...

Namun Riki mengikut juga gerombolan itu agar tidak dikatakan pengecut, agar tidak dikatakan tidak simpati, agar tidak dikatakan membelot rakan setaraf sendiri... Dan sememangnya Riki telah bersedia untuk bertempur... Perjalanan ke tempat Alo Breng digunakan sepenuhnya untuk mengumpul kemarahan, kebencian, kemeluatan dan kehanjingan terhadap keluarga Breng...

Dan pastinya, dengan gerombolan lebih 50 ekor dari pihak keluarga Sambora, dengan diketuai Siki dan dibantu Al Nana dan Riki, pertumpahan darah dan pematahan leher keluarga Breng tidak dapat dielakkan lagi.....

bersambung lagi....

Friday, May 21, 2010

Nak Bercuti...

Ya... aku nak bercuti. Dah lama tak bercuti.. kerja..kerja..kerja..

Jadi untuk meningkatkan stamina dan memulih tenaga dalaman dan luaran, aku akan bercuti dari tugasan harian bermula hari ini (21 May hingga 23 May)... tak lama pun, tiga hari saja (dua hari setengah sebenarnya sebab secara rasmi akan start cuti jam 12 tengahari nanti)... :-)

Lokasi dirahsiakan... hanya aku seorang tahu setakat ni... sekejap lagi akan jadi dua orang tahu iaitu isteri aku... hehehe... dia pun tak tahu lagi kami akan ke mana sekejap lagi...

Apapun, harapnya plan percutian kami ni berjalan dengan selamat supaya kedua-dua kami dapat rest... sebelum kembali menyambung tugasan masing-masing minggu depan...

Ok... selamat bercuti...

p/s: kalau sesapa sms/call tak dapat tu, jangan marah ye... maklumlah... nak masuk hutan... mungkin tak ada coverage... :-p

Wednesday, May 19, 2010

For Old Time Sake...

Salam semua,

Hampir seminggu juga aku tak bersembang2 dengan blog aku ni. Alasan biasa: busy dengan tugasan... Maklumlah, ada masa boleh online 12 jam sehari... ada masa yang lain pulak online cuma sejam dalam dua belas hari... hehehe

Walaupun aku tak bersembang2 kat sini, tapi aku mengikuti juga perkembangan kawan2 yang sama-sama berblog ni..

Kategori Blogger

Fulim : tahniah kerana berjaya menggemgam 'kembali' henpon padu itu... jaga bebaik... jangan hilang lagi!!!

Hardiness : dengan masalah PCnya... dah selesai kan bro? Anda memang mantap! Dan satu pesanan: kawan2 sentiasa mendengar rintihan anda... be strong... dekat atau jauh, kami sentiasa sedia mendengar dan membantu sekadar mampu...

Maya : Alhamdulillah dugaan wabak H1N1 berjaya dilepasi... Tapi... kembalilah... cepat2 la pulihkan ideamu itu... hehehe

Joe : Tahniah!!! andalah antara blogger paling kering idea... hahahahaha

Kategori Bukan Blogger

Ben : semua akan ok... lebih teruk dari itu pun kita pernah tempuh kan?

Bakaq : hahahaha... aku dah try dulu idea hang tu...

Oklah... aku tetap aku.. korang semua tahu siapa aku...

Jumpa lagi :-)

Cap Ayam - Episod 3

Kisahnya telah bermula...

CAP AYAM - EPISOD 3

Chon memang telah lama menjadi ahli kanan Don Sambora. Ramai kenal Chon sebagai seekor ahli kanan yang garang. Dalam banyak operasi keluarga, Chon yang akan mengetuainya, terutamanya yang melibatkan pertumpahan darah. Chon sentiasa dilihat sebagai seekor jeneral perang yang sukar ditandingi.

Namun, tiada siapa menyangka bahawa Chon juga sebenarnya seekor yang licik juga. Chon telah berkrompomi dengan Alo Breng untuk menguasai bahagian utara yang selama ini milik keluarga Sambora. Namun pakatan mereka telah dapat dihidu oleh Don Sambora melalui pengaruhnya, dan sebab itulah Riki ditugaskan menghapuskan Chon.

Memang mana-mana keluarga amat inginkan pengaruh dan kuasa bagi satu-satu bahagian. Pengaruh dan kuasa ini akan menjadikan keluarga itu dihormati dan disegani. Keluarga yang berkuasa juga berhak untuk memungut hasil bagi keseluruhan bahagian. Tertakluk juga kepada budi bicara ketua keluarga sama ada ingin berkongsi hasil dengan keluarga-keluarga kecil lain atau tidak. Manakala keluarga lain di dalam bahagian pula seharusnya menurut sahaja kata putus dari Don yang berkuasa, dalam kes ini; bagi bahagian Utara ianya adalah Don Sambora.

Walaupun mempunyai kuasa mutlak dan pengikut yang ramai, Don Sambora seekor ketua keluarga yang adil dan boleh dibawa berunding. Beliau biasanya akan berkongsi hasil dengan lain-lain keluarga, selagi mereka patuh dan taat kepadanya. Ada juga kes-kes terpencil, Don Sambora menghulurkan bantuan kepada keluarga dari lain-lain bahagian sama ada Selatan, Timur atau Barat yang datang bersahabat dengannya, dan biasanya keluarga-keluarga kecil inilah yang menyampaikan maklumat tertentu kepada Don Sambora tentang pergerakkan Don di bahagian mereka.

Situasi yang sama juga Riki rasakan sedang berlaku dalam keluarga Breng, di mana Riki mengesyakki mereka ditaja oleh Don dari bahagian yang lain untuk menentang Don Sambora. Ianya biasa berlaku dalam urusan mereka. Maruah boleh dibeli bila-bila masa sama ada secara sukarela atau secara ugutan. Namun biasanya ianya berlaku secara paksaan. Mereka akan memberikan ‘tawaran’ yang sukar untuk ditolak.

Riki juga tahu begitu. Keluarganya juga pernah memberikan ‘tawaran’ yang tidak dapat ditolak ini kepada pihak lain sehingga pihak tersebut terpaksa akur dengan permintaan atau hajat yang dikehendaki. Riki tahu, ayahnya, Don Sambora pernah menyuruh Tesi berjumpa dengan jurulatih pasukan debat disekolahnya suatu masa dahulu untuk ‘berunding’ agar Riki boleh menjadi ahli pasukan debat... dan Riki tahu Tesi telah membuat ‘tawaran’ yang pastinya tidak dapat ditolak... hasilnya Riki beroleh keahlian pasukan debat, malah sekiranya silap bagaimanapun, jurulatihnya tidak pernah memarahinya...

“Riki...!!! Riki...!!!”

“Riki!! Oii Riki!! Kau pekak ke apa?”

Terganggu lamunan Riki disergah begitu. Rupanya abangnya, Siki yang memanggilnya... rupanya agak cemas......

“Ada apa?” Riki tidak mahu terus mengelamun, menyahut panggilan abangnya itu...

“Cepat siap... kita ada urusan... Al Nana dah menunggu lama... puas aku mencari kau, rupanya kau di sini... Jom lah cepat!”, balas Siki...

Riki tidak mahu menanjangkan perbualan, takut dimarahi pula nanti.... Mereka lantas bertemu Al Nana yang telah sedia bersama lebih 50 ekor askar bawahan yang lain... Ke mana tujuan, apa urusan, Riki tidak berani bertanya, cuma mengharap akan diberitahu dalam perjalanan kelak....

bersambung....

Tuesday, May 11, 2010

Selepas 15 tahun...

Dari kiri: Shawal (suami Aizan), May (mendukung Humaira), John, Kamal (suami Eel - juga x-QBerian) dan Jan

Seperti dirancang, pada 8 Mei yang lalu, aku telah menghadiri satu sesi perjumpaan semula - reunion kelas Filasuf semasa di tingkatan 4 dan 5 dahulu. Lokasinya di Old Town Kopitiam, Ampang Point.

Hmm... apa yang boleh dikatakan? Selepas 15 tahun, ini kami kali pertama rasanya mengadakan perjumpaan secara rasmi - dan ianya berlangsung dengan meriah, walau hanya lapan orang daripada 19 ahli Filasuf yang hadir. Apapun, kehadiran dengan pasangan masing-masing dan junior2 telah menggamat suasana, tanpa rasa malu kami bergelak ketawa mengimbau kenangan lalu...

Ohh... inilah keluarga aku dulu... semasa aku jauh di perantauan. Inilah sahabat2 aku dulu, semasa bertarung menuntut ILMU. Dan inilah juga sahabat2 yang telah mencorak sebahagian hidup aku sekarang.

Memang perjumpaan semula ini boleh dikatakan berjaya. Sebabnya, baru 2 hari berlalu, sudah ada ura-ura untuk mengadakan sesi perjumpaan semula yang lebih terancang, walau tarikh dan lokasinya masih belum dimuktamad, namun inilah hasilnya apabila segala kenangan lalu memainkan peranan dan menguasai suasana. Kenangan yang pastinya sukar dilupakan yang telah ditempuhi bersama...

Kepada sahabat2 lain yang tidak dapat hadir Sabtu lepas, doakan reunion part 2 akan menjadi kenyataan... Insya Allah...

Cap Ayam - Episod 2

Dunia mereka... kadangkala ada pada kita...

CAP AYAM - EPISOD 2

Keluarga Sambora merupakan antara empat keluarga yang berpengaruh di daerah ini. Mereka menguasai bahagian Utara. Bahagian Selatan dikuasai oleh keluarga Tunpun. Timur dikuasai keluarga Andon manakala Barat pula dikuasai oleh keluarga Onban.

Riki sedar, untuk menguasai sesuatu bahagian di dalam sesuatu daerah, pelbagai halangan dan dugaan terpaksa ditempuh oleh bapanya. Banyak pertumpahan darah dan pertempuran terlibat. Banyak nyawa yang menjadi korban. Namun hasilnya amat berkesan. Hasilnya membolehkan keluarganya mendapat prestij, di sanjung dan dihormati. Hasilnya juga, keluarganya mungkin dimusuhi. Hasilnya juga mereka sekeluarga di ajar untuk sentiasa berwaspada kepada ancaman, luar dan dalam keluarga.

Riki masih ingat, bagaimana pada satu malam rumah mereka telah diserang hendap. Tembakan secara rambang telah dilepaskan bertalu-talu ke arah rumah mereka, walaupun tiada jiwa yang melayang, namun Riki sedar itu adalah tindakan daripada musuh-musuh keluarga yang tidak berpuas hati tentang urusan bisnes mereka. Musuh yang cuba mengambil alih kemewahan, prestij dan penghormatan daripada keluarganya.

Kadang-kadang, musuh bukan sahaja daripada tiga keluarga yang lain di dalam daerah ini, malah boleh sahaja dari bahagian yang sama. Tidak dinafikan, di bahagian utara ini sahaja, terdapat keluarga-keluarga baru yang cuba untuk mengambil alih kuasa. Setahu Riki, dua keluarga yang sangat berkehendakkan kedudukan keluarga Sambora ialah keluarga Ablang dan keluarga Breng.

Kadang-kadang, kelakar juga apabila Riki fikirkan, keluarga Ablang dan Breng itu bukannya mempunyai pengikut yang ramai pun, tetapi mereka tetap ingin mensabotaj dan bermusuhan dengan keluarganya. Entahlah, lebih baik mereka bekerjasama dan membina empayar yang lebih besar, fikir Riki.

Riki bukan tidak kenal ahli keluarga Ablang. LuLu Ablang, ketua keluarga Ablang itu dulu merupakan ketua pengawal bagi keluarga Sambora. Tetapi disingkirkan kerana membenarkan ahli bawahan Sambora membawa pulang betina di tengah malam. Mujurlah kesalahannya cuma sekecil itu, kalau tidak pasti nyawanya juga telah melayang. Mungkin inilah yang menyebabkan keluarga Ablang sangat marahkan keluarga Sambora.

Manakala Nina Breng, anak gadis Alo Breng, ketua keluarga Breng bukannya Riki tidak kenal. Nina dan Riki bersekolah di sekolah yang sama, malah Eric Sambora dan Alo Breng pernah duduk bersebelahan semasa hari penyampaian hadiah sekolahnya, tiada pula nampak sengketa mereka. Cuma baru-baru ini, keluarga Sambora mendapat tahu keluarga Breng sedang merangka satu pakatan jahat untuk merampas kuasa keluarga Sambora. Itulah juga sebabnya Riki ditugaskan untuk menamatkan riwayat Chon. Semuanya kerana Chon telah cuba untuk berpaling tadah dari keluarga sendiri dan menjual rahsia keluarga kepada Breng.

Yang pasti, Riki tahu: keluarga Breng sendiri tiada kekuatan dan kebijaksanaan untuk menentang Sambora. Riki yakin, mereka pasti ditaja oleh keluarga lain; sama ada Tunpun, Andon atau Onban untuk menentang Sambora.

Dan inilah sebenarnya tugasan pertama Riki sebagai ahli kanan: menjejaki siapa yang menaja Breng untuk menentang Sambora....

Bersambung...

Thursday, May 6, 2010

Nur Alia Syahira

Ketika baru dilahirkan

Ketika umur satu tahun 2 bulan

Dah pandai ketawa

Dah pandai panjat Pak Ngah

Puas hati la tu...

Itulah anak sedara aku yang kedua...
p/s: Gambar ni bayar hutang semasa aku balik kampung hari tu... Dah janji nak upload...


Lima Fasa...

Sekarang ni aku ada banyak masa senggang - maka sebab tu juga aku terasa nak taip panjang-panjang je... Lagipun mungkin nak cover minggu depan/pertengahan Mei yang aku dah ada tugasan yang perlu diselesaikan dan mungkin tak sempat nak online pun.... Nanti hangpa semua terindu-rindu pulak nak baca coretan aku... kah kah kah (masih dlm mood perasan)

Pendapat peribadi aku, terdapat lima fasa dalam persahabatan yang biasanya akan dilalui oleh seseorang dalam persahabatannya dengan seseorang. Sama ada sama jantina atau tidak.

Aku andaikan FASA PERTAMA sebagai mengenali satu sama lain. Di sini kedua-dua manusia tadi mula untuk berkenalan. Kalau mereka rasakan serasi, mereka akan menuju pula ke fasa kedua.

FASA KEDUA pula ialah kedua-dua hamba Allah ni akan mula berkawan rapat. Hampir segalanya dikongsi bersama, bertukar-tukar cerita, pendapat dan sebagainya. Inilah saat paling best bagi kedua-dua mereka tu...

Malangnya, FASA KETIGA pula ialah bilamana sedikit salah faham menyebabkan pergaduhan dan perselisihan faham. Ditambah pula dengan hasutan iblis dan syaitan yang sememangnya suka melihat manusia bergaduh dan membuat dosa. Kadang-kadang fasa ketiga ini membawa kepada perpisahan dan permusuhan.

FASA KEEMPAT pula aku andaikan sebagai satu fasa bilamana setelah melalui fasa ketiga, kedua-dua sahabat tadi akan berjumpa, terjumpa atau bertemu semula. Mungkin mengambil masa yang lama, bertahun-tahun atau mungkin hanya beberapa hari selepas fasa tiga di atas. Semasa fasa ini, persahabatan mereka akan bertaut kembali - malah lebih utuh dan jitu berbanding sebelumnya. Malah boleh dikatakan mereka akan mampu bertahan sehingga ke fasa kelima...

Walaubagaimanapun, ada juga yang berhadapan dengan fasa ketiga dan keempat ini secara berulang-ulang kali, sebelum menuju ke fasa kelima......

Yang mana, FASA KELIMA aku katakan sebagai fasa terakhir di mana kedua-dua sahabat terpaksa melalui saat akhir seorang yang lain. Mereka terpaksa berpisah selamanya - hanya meninggalkan kenangan indah yang mampu dikenang oleh seorang lagi. Kadangkala - fasa kelima ini ditempuh bersama-sama - maka itulah yang selalu dikatakan hidup mati bersama.

Namun, harus diingat, ada juga dikalangan kita yang kurang bernasib baik - selepas fasa ketiga, tidak sempat untuk menjengah fasa keempat - terus sahaja menempuh fasa kelima... menyesal pun tidak berguna lagi, hanya doa sahaja yang mengiringi...

Kesian... dan sekian :-)

Tuesday, May 4, 2010

Kisah Kawan Aku Part 4

Masih ingatkah kalian dengan kawan aku yang sorang ni? Yelah... yang aku ceritakan dalam KISAH KAWAN AKU, KISAH KAWAN AKU PART 2 dan KISAH KAWAN AKU PART 3

Kebetulan baru-baru ini, dia telefon dan mencari aku - nak ajak berborak katanya. Kebetulan juga, aku tengah lapang masa tu, aku pun tanpa 'segan silu' sudi melepak minum-minum dengannya. Maklumlah, hampir setahun jugak tak jumpa mamat ni... nak tahu juga apa cerita dia...

"Hidup lagi hang ya... ingatkan dah arwah!", ayat pertama terpacul dari mulut aku sebaik bersalaman. Dia cuma tersenyum sahaja. Lain pulak lagaknya kali ni. Kalau dulu, pantang ditegur, siaplah akan ada sahaja jawapan atau bedilan pedas daripadanya. Gayanya pun nampak lain macam, nampak lebih yakin pulak aku nampak.

"Alhamdulillah la... Tuhan panjangkan lagi umur aku... supaya dapat jumpa hang lagi...", serius juga jawapan dia.

"Apa cerita?", aku tak sabar nak tahu tujuannya - sebelum dia berleter dan berceramah lebih panjang - yang juga kadang-kadang berjangkit kat aku seperti aku lakukan sekarang ni... Nak cerita pasal kawan aku, bukan nak cerita pasal aku... hehehe

"Macam-macam... hang ingat lagi tak budak sekolah kita dulu... Salim...?", tanya kawan aku...

"Ingat, apa pulak tak ingat... Salim pendiam tak banyak cakap tu... yang asyik teringat kampung halaman tu kan... yang sekelas dengan kita tu... kawan baik hang tuh... apa pulak tak ingat. Kenapa dengan dia?"

"Baru ni aku jumpa dia... lepas hampir 20 tahun tak jumpa dia... itupun dia yang usaha cari aku... tak sangka dia sekarang dah tak macam dulu lagi..." kawan aku memulakan cerita. Aku diam sahaja untuk bagi peluang dia sambung sambil menghirup nescafe o panas...

"Tak sangka aku akan jumpa balik dengan dia... yelah berapa lama tak dengar cerita... tup-tup dia dapat no telefon aku... terus call aku... kaget juga aku... sebelum ni pun memang aku cuba jugak cari dia, tapi puas aku tanya member-member kita - semua kata tak tahu..."

"Hang tak bersungguh cari kot? Lain kali buat la iklan dalam surat habaq..." aku cuba mengusiknya....

"Hahahaha.... banyak duit aku nak buat iklan... Isshhh hang ni potong la, biaq aku cerita... hang minum saja... kalau nak makan - order... aku belanja..." amboi... seronok sungguh kawan aku ni nampaknya... Lepas tu banyak lagi dia cerita, sambil aku menyuap mee goreng.

Katanya, Salim dah berkeluarga, dah ada anak. Kalau dulu, semua tahu Salim ni memang seorang yang tak banyak bercakap... pendiam sangat... jarang-jarang bercakap walaupun beliau sebenarnya seorang Pengawas sekolah kami dulu... kawan aku dan Salim ni memang berkawan baik... bagaimana mereka bermula, tak pula aku tahu... tapi alih-alih memang semua tahu mereka ni berkawan baik... Tapi kawan baik jantan dengan jantan lah ye... tak lebih dari itu... Kalau Salim tu perempuan, dah tentu mereka berutus surat dan bertukar-tukar hadiah... pasti mereka digosipkan sebagai pasangan bercinta.... kami semua tahu... jangan pikir lain pulak... hangpa ni kena cakap bagi jelas baru nak paham!!!

Apa yang kawan aku ni amat terasa Salim dah banyak berubah dari seorang yang pendiam kepada seorang Salim yang baru ialah bilamana Salim katanya Salim sanggup datang dari kampung semata-mata nak berjumpa dengannya di KL tempoh hari. Datang sekeluarga pulak tu... Kalau dulu si Salim ni, nak ajak keluar ke pekan pun bukan main susah. Cakaplah macamana pun, takdenya dia nak ikut kami keluar pekan... Ini tidak, sanggup datang dari jauh, semata-mata... di ulang semata-mata nak jumpa kawan aku ni...

Bila kawan aku ni bercerita, teringat aku tentang kata-kata isteri aku... "people change"... lantas tanpa segan silu, aku menggunakan ayat yang sama kepada kawan aku ni mengenai Salim. Aku bagi contoh dirinya juga, kalau dulu susah nak dengar bertutur dengan sopan, tapi sekarang, kena provoke pun relaks sahaja...

Yelah, memang aku tak nafikan, manusia boleh berubah, sesuai dengan persekitaran, gaya hidup, pergaulan, usia dan lain-lain faktor yang tak dapat aku fikirkan sekarang. Pernah juga terjadi kepada diri aku sendiri... bilamana seorang sahabat yang telah lama tidak bersua, lama tidak berjumpa, lama tidak bertanya khabar dan lama tidak mengetahui nasib masing-masing, telah boleh muncul semula tanpa ragu-ragu untuk menyambung semula persahabatan yang lama terputus. Terputus bukan sebab bergaduh, bukan juga kerana bermasam muka, tetapi kerana peralihan zaman dan lokasi yang jauh....

Apapun, kawan aku kata, dia amat hargai pertemuan semula tu. Dan aku faham perasaan dia tu yang tentunya gembira dan kalau boleh macam-macam nak ceritakan kepada Salim. Pasti cerita mereka berkisar tentang cerita alam sekolah dan juga cerita hampir 20 tahun yang mana mereka terputus hubungan.

Apapun, aku doakan semoga pertemuan semula kawan aku dengan Salim tu akan terus berpanjangan walaupun mereka sebenarnya telah mempunyai hidup masing-masing dan mempunyai komitmen tersendiri. Orang kata berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali dan berkasih biar satu dan aku bersetuju dengan ungkapan itu.

Seperti aku dan kawan aku ni juga... boleh dikatakan hanya setahun sekali berjumpa, namun hubungan kami seperti adik beradik dan dirasakan sebahagian diri aku ada dalam dirinya....

Sesi minum kami hari tu memakan masa hampir dua jam... sebenarnya aku terharu juga, sebab tak pasti bila pula akan dapat bertemu kawan aku ni... last jumpa pun bulan Mei tahun lepas, dah memang setahun pun...

Apapun, ungkapan 'people change' bermain di minda aku...

Cap Ayam - Episod 1

SEPERTI DIJANJIKAN, IANYA TELAH DIPAPARKAN...

CAP AYAM - EPISOD 1


“Harap kau faham, ini bukan peribadi, ianya adalah urusan kita. Urusan yang telah kita pilih...” dan Riki terus mematahkan leher Chon. Tidak berapa lama kemudian, Chon terkulai dan mati begitu sahaja.

Riki sedar, Chon adalah rakan yang sebaya dengannya. Malahan mereka juga berasal dari kampung yang sama. Riki tidak gentar, Riki tidak gusar dan Riki tidak takut melakukan apa yang dia lakukan sebentar tadi. Ianya sudah menjadi alah bisa, tegal biasa baginya.

Apa yang penting, Riki tahu dia hanya menurut perintah. Sejak memilih ‘jalan’ ini, Riki tidak dapat lari dari menerima arahan dan menurut perintah dari pihak atasan. Apa saja yang diputuskan, wajib dilaksanakan. Jika tidak, dia sendiri yang mendapat bahananya.

Itulah yang terjadi kepada Chon. Sebenarnya Chon yang tersilap langkah. Dia yang mengkhianati keluarga sendiri. Dia yang tergamak menggadai urusan keluarga sendiri kepada keluarga lain. Dia pengkhianat, dan pengkhianat sepertinya perlu dihapuskan.

Itupun bukannya Riki yang pandai-pandai membuat keputusan. Riki hanya menurut perintah. Dan setiap perintah wajib ditaati. Jika tidak, tunggu sahaja balasannya kelak. Dan setiap arahan datangnya terus dari ketua keluarga. Walaupun penyampaian arahan bukan secara terus disampaikan oleh ketua keluarga, ada pihak kedua yang menjadi pengantara, namun Riki tahu arahan menamatkan riwayat Chon telah diputuskan oleh ketua keluarga.

Riki sedar, sejak dari awal sejak memilih pekerjaan ini, dia akan terikat dengan arahan dan urusan keluarga. Ketaatan kepada ketua keluarga menjadi pegangan. Kesetiaan kepada keluarga menjadi amalan.

Memanglah ketua keluarga yang dimaksudkan adalah bapanya sendiri, Eric Sambora. Jika tidak, masakan nama penuh Riki akan menjadi Riki Sambora. Ibunya pula Kina Sambora. Dan seingat Riki, bapanya telah memberi pilihan kepadanya dulu, sama ada untuk mengikut jalan keluarga ataupun memilih haluan sendiri. Dan Riki masih ingat, tanpa berfikir panjang, dia mencium dada bapanya dan memilih jalan keluarga. Dan sejak itulah dia tidak dapat berpatah balik lagi.

“Ayah, urusan Chon telah selesai”.

Riki melaporkan urusannya sebentar tadi kepada Eric Sambora. Disebelah Eric Sambora kelihatan Siki Sambora iaitu abang Riki dan Al Nana. Sebenarnya Siki, Al Nana dan Chon adalah ahli kanan Eric Sambora, sekarang tinggal Siki dan Al Nana sahaja memandangkan Chon telah dihapuskan.

Turut kelihatan sahabat setia Eric Sambora iaitu Tesi dan Comeng. Keduanya Tesi dan Comeng telah agak berusia, mungkin sebaya dengan Eric Sambora. Semuanya memerhatikan Riki yang melaporkan ‘kejayaannya’ itu tanpa berkata apa.

“Bagus anakku. Mulai sekarang kau ambil alih tempat Chon dan menjadi ahli kananku yang paling junior. Taraf kau telah aku naikkan mulai hari ini”, balas Eric Sambora, tegas dan padat.

“Terima kasih, DON SAMBORA”, Riki menunduk dan mencium dada Eric Sambora.

Diikuti oleh Siki, Al Nana, Tesi dan Comeng. Semuanya mencium dada Eric Sambora tanda mentaati ketua keluarga itu dan tentunya sebagai menghormati keputusan Don Sambora.

Dan hari-hari Riki pasti berbeza selepas ini apabila dinaikkan pangkat sebagai ahli kanan kepada Don Sambora.....

bersambung....

Monday, May 3, 2010

Cap Ayam - Pengenalan

Assalammualaikum,

Seperti dijanjikan, seperti dinantikan, satu lagi eTelenovela akan muncul dan dipancarkan melalui janjanos.blogspot.com

Dengan sebuah lagi kisah menarik yang diberi judul Cap Ayam.

Setelah memperkenalkan Dunia Joni yang berkisar tentang para kambing di kandang pak Maarof, kini janjanos cuba pula membawakan kisah para ayam pulak dengan judul Cap Ayam.
Cap Ayam merupakan sebuah kisah bersiri yang berkisar tentang masyarakat ayam; yang juga mempunyai ceritanya yang tersendiri.

Jika Dunia Joni lebih berkisar tentang percintaan Joni dan Sarah, Cap Ayam pula cuba lari dari tema percintaan dengan membawakan tema yang lebih serius, lebih dramatik dan lebih membingungkan... (mungkin).... apa yang serius? apa yang dramatik? apa yang bingung? Temui jawapannya dalam Cap Ayam!!!

Ianya tidak lama lagi akan dipancarkan melalui blog ini... mungkin petang ini, mungkin pagi esok... bila2 masa sahaja lagi, setelah tertangguh hampir setahun...

Selamat membaca eTelenovela CAP AYAM!!!

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!