JANOS

JANOS
Selamat Datang

Wednesday, June 2, 2010

Cap Ayam - Episod 5

Tak siapa menduga...

CAP AYAM - EPISOD 5

Bertempiaran ekor-ekor Breng melarikan diri mereka sebaik sahaja nampak gerombolan Siki dan ekor-ekornya dari keluarga Sambora. Pasti ekor-ekor Breng itu tahu, pasti mereka juga telah menduga, dan pasti mereka juga telah bersedia menantikan ‘kunjung balas’ dari keluarga Sambora, hasil kejahatan mereka membaling sarang kerengga tadi.

Tapi hairannya, walaupun keluarga Breng sebenarnya tidaklah sebanyak mana, tetapi ketika gerombolan Sambora sampai, hanya empat ekor sahaja yang melarikan diri... kelihatannya seperti ekor-ekor yang lain telah diminta bersembunyi lebih awal.

“Hampeh... lengang pula kampung puak Breng ni... macam tahu-tahu pula kita nak serang...”, Siki berkata, ada sedikit bunyi kecewa dalam suaranya... Niat awal untuk bermandi darah, nampaknya tidak kesampaian.

“Kumpulan satu dan dua, periksa sekeliling kalau-kalau ada jerangkap samar... kumpulan tiga dan empat mari ikut aku!”, arah Al Nana. Memang Riki tahu, Al Nana amat berkebolehan dalam ilmu perang. Dia seperti telah mahir selok belok bertempur. Mungkin pengalamannya banyak membantu... Setahu Riki, Al Nana dulu pernah ditetaskan di sebuah kem tentera, sebelum diseludup keluar ketika usianya baru seminggu. Mungkin sedikit-sebanyak darah ketenteraan mengalir dalam tubuhnya...

Riki lega, selepas hampir 10 minit di perkampungan Breng, tiada pertumpahan darah yang berlaku. Walau dia juga agak marah dan geram dengan tingkahlaku keluarga Breng, namun Riki sebolehnya tidak mahu permusuhan berpanjangan. Permusuhan hanya akan merugikan mereka sendiri. Memang akan beroleh kemenangan dan peghormatan, tetapi terdapat ‘harga’ tertentu yang terpaksa dibayar.

“Jom kita balik...”, ajak Siki.

Maka gerombolan mereka pun terkedek-kedek pulang semula ke perkampungan mereka. Tiada apa yang berlaku sepanjang perjalanan pulang... Mereka juga melangkah dengan penuh berhatoi-hati dan berwaspada takut terdapat jerangkap samar yang sengaja dipasang oleh keluarga Breng.

Setiba mereka di perkampungan, mereka amat terkejut melihat tiga buah rumah lagi dibaling sarang kerengga... Kali ini melibatkan rumah Coron, Pandin dan Brento. Rupanya serangan pertama hanyalah satu perangkap bagi membuatkan semua jantan keluar ‘berperang’. Hanya yang tinggal adalah para betina dan anak-anak yang tidak mampu melawan.

Riki lihat semua betina dalam ketakutan, terutamanya isteri Coron, Pandin dan Brento. Betina-betina yang lain mengerumuni ketiga-tiga isteri malang itu dan menunjukkan simpati yang amat sangat. Setelah diperiksa, tiada kehilangan nyawa berlaku, Cuma anak-anak mereka bengkak-bengkak badan akibat digigit kerengga.

Sekarang, empat rumah telah diserang kerengga, termasuk rumah Al-Nana yang telah diserang lebih awal. Seperti Riki jangkakan, abangnya, Siki mula naik barannya.

“Ini sudah melampau!!! Memang keluarga Breng mahukan permusuhan... memang tidak boleh dibiarkan lagi...” Siki bersuara.

Memang Riki setuju dengan kata-kata Siki itu. Riki juga amat marah dan geram. Nampaknya keluarga Breng telah dapat mengagak para jantan akan membalas dendam. Dan sebab itulah juga, cuma ada empat ekor sahaja di perkampungan Breng sebentar tadi... semuanya telah dirancang. Di kala bapanya, Don Sambora tiada, ketika itulah keluarga Breng mengambil kesempatan menyerang. Mereka tahu Siki seekor yang panas baran... dan kekurangan inilah mereka gunakan untuk menyerang dan menunjukkan kelemahan keluarga Sambora. Riki tahu ada seseekor yang membocorkan maklumat Don Sambora tiada di perkampungan hari ini... nampaknya masih ada pengkhianat dalam keluarga ini....

bersambung...

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!