JANOS

JANOS
Selamat Datang

Tuesday, May 11, 2010

Cap Ayam - Episod 2

Dunia mereka... kadangkala ada pada kita...

CAP AYAM - EPISOD 2

Keluarga Sambora merupakan antara empat keluarga yang berpengaruh di daerah ini. Mereka menguasai bahagian Utara. Bahagian Selatan dikuasai oleh keluarga Tunpun. Timur dikuasai keluarga Andon manakala Barat pula dikuasai oleh keluarga Onban.

Riki sedar, untuk menguasai sesuatu bahagian di dalam sesuatu daerah, pelbagai halangan dan dugaan terpaksa ditempuh oleh bapanya. Banyak pertumpahan darah dan pertempuran terlibat. Banyak nyawa yang menjadi korban. Namun hasilnya amat berkesan. Hasilnya membolehkan keluarganya mendapat prestij, di sanjung dan dihormati. Hasilnya juga, keluarganya mungkin dimusuhi. Hasilnya juga mereka sekeluarga di ajar untuk sentiasa berwaspada kepada ancaman, luar dan dalam keluarga.

Riki masih ingat, bagaimana pada satu malam rumah mereka telah diserang hendap. Tembakan secara rambang telah dilepaskan bertalu-talu ke arah rumah mereka, walaupun tiada jiwa yang melayang, namun Riki sedar itu adalah tindakan daripada musuh-musuh keluarga yang tidak berpuas hati tentang urusan bisnes mereka. Musuh yang cuba mengambil alih kemewahan, prestij dan penghormatan daripada keluarganya.

Kadang-kadang, musuh bukan sahaja daripada tiga keluarga yang lain di dalam daerah ini, malah boleh sahaja dari bahagian yang sama. Tidak dinafikan, di bahagian utara ini sahaja, terdapat keluarga-keluarga baru yang cuba untuk mengambil alih kuasa. Setahu Riki, dua keluarga yang sangat berkehendakkan kedudukan keluarga Sambora ialah keluarga Ablang dan keluarga Breng.

Kadang-kadang, kelakar juga apabila Riki fikirkan, keluarga Ablang dan Breng itu bukannya mempunyai pengikut yang ramai pun, tetapi mereka tetap ingin mensabotaj dan bermusuhan dengan keluarganya. Entahlah, lebih baik mereka bekerjasama dan membina empayar yang lebih besar, fikir Riki.

Riki bukan tidak kenal ahli keluarga Ablang. LuLu Ablang, ketua keluarga Ablang itu dulu merupakan ketua pengawal bagi keluarga Sambora. Tetapi disingkirkan kerana membenarkan ahli bawahan Sambora membawa pulang betina di tengah malam. Mujurlah kesalahannya cuma sekecil itu, kalau tidak pasti nyawanya juga telah melayang. Mungkin inilah yang menyebabkan keluarga Ablang sangat marahkan keluarga Sambora.

Manakala Nina Breng, anak gadis Alo Breng, ketua keluarga Breng bukannya Riki tidak kenal. Nina dan Riki bersekolah di sekolah yang sama, malah Eric Sambora dan Alo Breng pernah duduk bersebelahan semasa hari penyampaian hadiah sekolahnya, tiada pula nampak sengketa mereka. Cuma baru-baru ini, keluarga Sambora mendapat tahu keluarga Breng sedang merangka satu pakatan jahat untuk merampas kuasa keluarga Sambora. Itulah juga sebabnya Riki ditugaskan untuk menamatkan riwayat Chon. Semuanya kerana Chon telah cuba untuk berpaling tadah dari keluarga sendiri dan menjual rahsia keluarga kepada Breng.

Yang pasti, Riki tahu: keluarga Breng sendiri tiada kekuatan dan kebijaksanaan untuk menentang Sambora. Riki yakin, mereka pasti ditaja oleh keluarga lain; sama ada Tunpun, Andon atau Onban untuk menentang Sambora.

Dan inilah sebenarnya tugasan pertama Riki sebagai ahli kanan: menjejaki siapa yang menaja Breng untuk menentang Sambora....

Bersambung...

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!