JANOS

JANOS
Selamat Datang

Tuesday, May 25, 2010

Kawan Lama...

Sekali sekala bertemu kawan lama, memang menyeronokkan. Tambahan pula jika kawan itu telah lama tidak berhubungan malah boleh dikatakan terputus hubungan sekian lama. Maka banyaklah hal yang hendak diceritakan, banyaklah perkara untuk dikenang, banyaklah juga kenangan untuk disingkap.

Kesibukan dan rutin harian yang berbeza, telah menyebabkan aku dengan beberapa kawan lama boleh dikatakan terputus hubungan. Ada yang menjangkau sehingga puluhan tahun. Maklumlah, ada yang begitu rapat di sekolah rendah, apabila masing-masing membawa haluan sekolah menengah, maka persahabatan terputus tanpa disedari, sambil membina persahabatan baru, di tempat baru.

Bukan masing-masing tidak mengingati satu sama lain, namun seperti aku nyatakan di atas; kesibukan dan rutin seharian serta melalui fasa lain dalam kehidupan menyebabkan kita terasa sukar untuk menjejak semula kawan-kawan lama. Padahal, ada masa tertentu, kita pasti akan terkenang kawan, sahabat kita itu dahulu.

Perkara ini merupakan lumrah bagi kita. Aku beranggapan dan berpendapat, suatu masa nanti kita pasti akan bertemu semula dengan kawan-kawan lama, sama ada dirancang atau secara kebetulan. Bagi yang berusaha, pasti lebih cepat untuk menjejak kawan-kawan lama walau di mana sahaja mereka berada.

Suka untuk aku menarik perhatian, kewujudan Facebook yang menjadi satu fenomena dewasa ini, hampir memudahkah kita untuk menjejak kawan lama. Bukan niat untuk mengiklan Facebook (sebab bukannya dibayar pun) tetapi inilah salah satu cara yang membolehkan silaturahim bertaut kembali setelah sekian lama terpisah.

Disebabkan Facebook juga, aku dapati semakin banyak majlis-majlis reunion di atur semasa kelumpuk tertentu yang berkaitan. Mungkin dari kelas semasa sekolah, hinggalah reunion bagi mereka yang pernah bertugas dibawah satu bumbung. Perkongsian maklumat dan bertukar pendapat juga rancak berlaku sehingga kita merasakan kawan-kawan berada berdekatan sahaja dengan kita walau hakikatnya cuma bersembang di alam maya.

Begitu juga halnya dengan kelas aku semasa di SPM dahulu seperti telah aku ceritakan terdahulu. Kami berjaya bertaut kembali di dalam majlis reunion dengan ceria dan gembira. Dari situ, dapatlah pula bertukar-tukar maklumat, kepakaran atau idea tentang sesuatu perkara. Boleh pula tolong menolong, menjalin kerjasama dan sebagainya bagi yang menjalankan perniagaan. Hasilnya memang membangga dan menyeronokkan!

Bayangkan, rakan sekelas yang hampir 15 tahun tidak bertemu, tidak bertegur sapa, masih boleh bersembang, bergelak ketawa dan usik mengusik seperti 15 tahun dahulu, walaupun kita semuanya telah dewasa, berkeluarga dan pengalaman yang berbeza.

Aku tidak menafikan malah bersyukur apabila dapat bertemu dan berhubung kembali dengan rakan-rakan lama. Jika dahulu aku merasakan agak rendah diri memandangkan pencapaian dalam kerjaya tidaklah seberapa, namun sekarang aku ketepikan semua perasaan itu kerana tiada siapa yang akan memperkecilkan satu sama lain. Siapa yang kurang akan dibantu, sekadar termampu. Siapa yang lebih pula, tidak lokek untuk bertukar pendapat agar kawan lama juga beroleh kejayaan.

Dalam berkawan, aku sentiasa berpegang kepada prinsip baik kepada semua orang. Orang kata hidup umpama roda, kita tidak tahu bila kita akan di atas atau bila kita akan dibawah. Mungkin sedikit pertolongan yang kita hulur semasa zaman sekolah dahulu seperti cuma meminjamkan pensel, akan dikenang oleh pihak yang dibantu sepanjang hayatnya. Mungkin kita tidak mendapat balasan dari orang yang sama, namun percayalah mungkin pihak lain akan membantu di kala kesusahan.

Kadang-kadang juga, aku merasa pelik dengan sesetengah kawan aku yang bertanya "hang berkawan lagi dengan si polan?" dengan nada pelik. Bagi aku mudah sahaja. Jangan pelik dengan siapa aku berkawan, kalau anda tidak berkawan dengan orang itu. Aku berkawan bukan sebab sesuatu kepentingan, aku berkawan sebab aku mahu berkawan. Biarlah bukan jumpa seminggu sekali, biarlah bukan setahun sekali, mungkin tak jumpa langsung, tetapi aku tidak pernah menyingkirkan seseorang dari senarai kawan.

Perubahan zaman, perubahan status dan perubahan persekitaran telah menyebabkan kawan-kawan lama sukar dijejak. Walau apapun, aku amat menghargai sebarang usaha untuk menemukan semula kawan-kawan lama. Kerana tanpa kita sedari, kita sebenarnya bersaudara di antara satu sama lain malah boleh pula membaca fikiran masing-masing :-)

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!