JANOS

JANOS
Selamat Datang

Thursday, November 13, 2008

DUNIA JONI - EPISOD 2

Klik Di Sini Untuk Episod 1 - Pengenalan


EPISOD 2

Rutin harian Joni bermula seawal jam 6 pagi. Pada masa ini Joni pasti akan terjaga dari tidur setelah mendengar kokokan ayam-ayam Mak Munah, isteri Pak Maarof. Kokokan biasanya akan diketuai oleh Samat, ayam jantan yang paling senior, sebelum disambut oleh yang lainnya. Joni malas nak fikir nama yang lainnya. Hanya Samat yang Joni kenal. Itupun kerana Samat pernah tersesat ke rumah Joni.

Sebaik terjaga dari tidur, Joni akan terus berdiri dan berjalan-jalan di dalam rumahnya. Kata bapanya, itu salah satu senaman. Kita perlu bersenam agar kita sihat. Joni menurut sahaja arahan bapanya. Kalau dia tak buat pun, bapanya tak pernah marah. Bapanya memang baik hati. Joni tak perlu madi pagi. Dia cumalah seekor kambing, kambing mana perlu mandi.

Sambil menunggu hari benar-benar cerah, Joni dan kaum keluarganya hanya bernyanyi-nyanyi di dalam rumah. Manusia kata mereka mengembek. Mereka bergurau senda bagi merapatkan lagi hubungan kekeluargaan. Joni amat gemar menyakat adik-adiknya. Mereka akan saling sayang menyayangi, berlaga pipi dan bergesel badan. Kadang-kadang Joni pelik mengapa manusia selalu mengatakan kambing busuk. Padahal bagi Joni, kambing dapat hidup dengan rukun damai dalam keluarga yang besar. Sedangkan pada fikiran Joni, manusia yang wangi dan mandi itu belum tentu dapat hidup rukun damai walaupun dalam keluarga yang kecil.

Lebih kurang pukul 8 pagi, Pak Maarof dan dua orang pekerjanya, Latip dan Manap akan datang membuka kelima-lima pintu keluarga yang ada. Inilah masa yang Joni selalu nantikan. Selain akan diiring oleh Pak Maarof bertiga ke padang ragut, inilah juga masa Joni akan berbual dengan Sarah. Sarah yang dia amat cintai. Sarah yang sentiasa comel di mata Joni. Sarah yang manja dan juga menyayangi Joni.

Biasanya pada masa ini, pakcik David dan bapa Joni, Mack tak ambil peduli apa anak-anak mereka lakukan. Mereka sibuk dengan urusan tersendiri, sibuk dengan kerja mereka sahaja. Anak-anak tidak dipedulikan sangat. Kadang-kadang, pada musim tertentu Joni lihat bapa dan pakcik-pakciknya iaitu David, John, Mugabe dan Bentley bermesra dengan ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka yang Joni maksudkan bukan sahaja ibu dari rumahnya, juga dari rumah yang lain juga!

Ada masa tertentu juga, Joni lihat ada di antara masyarakatnya dibawa pergi ke tempat lain oleh Pak Maarof. Kadang-kadang Latip atau Manap yang bawa. Dan biasanya Joni tak pernah lagi melihat mereka yang di bawa oleh Pak Maarof atau pekerjanya itu kembali. Bapa Joni pernah berkata, mereka terpilih untuk berkorban untuk nusa dan bangsa. Pasti mulia pekerjaan itu, fikir Joni.

Rutin aktiviti luar rumah ni, Joni amat tak suka kalau hari hujan. Kalau hujan maknanya Pak Maarof dan orang-orangnya akan bawa Joni dan masyarakatnya cepat pulang. Maka sekejap sahaja Joni dapat jumpa Sarah. Sebenarnya Joni pun pelik, kenapa dia dan masyarakatnya amat susah kalau kena air. Tak selesa sangat. Rimas. Menyampah kalau kena air. Menyusahkan. Ish.... amat tak best....

Kalau hari biasa, petang lebih kurang 6 petang, Joni akan diiringi sekali lagi masuk ke rumah masing-masing. Joni akur akan rutin hariannya itu. Itulah yang telah Joni lakukan sejak berusia 3 minggu dan mula pandai berjalan lagi. Selepas masuk ke rumah, tiada apa yang menarik, cuma menunggu hari gelap dan berehat terus tertidur.

Demikianlah rutin seharian Joni dan semua masyarakatnya.

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!