JANOS

JANOS
Selamat Datang

Tuesday, November 18, 2008

DUNIA JONI - EPISOD 4

EPISOD PENGENALAN
EPISOD 2
EPISOD 3

EPISOD 4

Mona yang berusia dua tahun ialah sepupu Joni. Dalam dunia perkambingan sepupu dikira seandainya lahir daripada ibu yang sama tetapi berlainan bapa. Ibu Joni, Janet berkahwin dengan Mack bapa Joni. Janet isteri keempat Mack dan melahirkan Joni. Janet juga isteri kedua pakcik Bentley dan melahirkan Mona. Mujurlah Janet telah berkorban untuk nusa dan bangsa tahun lepas, kalau tidak, pasti banyak lagi sepupu Joni.

Manakala Joni dan Bob ialah sepuku. Sepuku maksudnya bapa yang sama tapi berlainan ibu. Maknanya Joni mempunyai 37 sepuku, iaitu anak-anak Mack dari kesemua isterinya. Kalau manusia, Joni tahu mereka dipanggil adik-beradik. Joni tiada sepakat, iaitu anak daripada ibu dan bapa yang sama. Sebenarnya susah bagi kambing untuk ada sepakat, melainkan anak dari isteri pertama. Isteri pertama biasanya tidak bermesra dengan bapa lain dan mampu menjana sehingga 28 anak.

Berbeza dengan sekupu. Sekupu ialah anak kambing yang sebaya umurnya sebelum mencapai usia lima tahun yang lahir dari bapa dan ibu yang sama sekali tidak sama. Joni dan Albert adalah sekupu. Albert? Joni benci Albert. Setiap kali disebut nama itu, menyirap darah Joni. Tak suka Albert. Albert selalu buli Joni. Benci! Benci!

Jadi dalam hidup Joni ada SEPUPU, SEPUKU, SEPAKAT dan SEKUPU. Kalau yang terbang ada sayap yang Joni nampak semasa keluar dari rumah setiap hari tu kupu-kupu. Itu lain. Ianya bukan dalam keluarga kambing. Kambing mana boleh terbang. Kambing berjalan sahaja. Kadang melompat. Tak boleh, kupu-kupu bukan dalam kategori Joni. Jangan sekali-kali samakan Joni dengan kupu-kupu! Faham?

Ada satu lagi istilah yang Joni tahu. Mack pernah memanggil semua isterinya dengan panggilan ini. Bagi pemahaman Joni, inilah istilah bagi isteri-isteri bagi seekor bapa dalam satu rumah yang sama. Joni pasti ini. Tidak salah lagi. Joni sudah tahu apa itu sepupu. Joni juga tahu sepuku, sepakat dan sekupu. Joni ada 5 lagi ibu tiri setelah kehilangan ibu kandungnya, Janet tahun lepas. Joni tahu mereka adalah dalam kategori yang sama bagi Mack. Mereka ialah sepuki.

Kadang-kadang Joni terdengar bapanya berbual dengan pakcik John mengatakan pakcik David dan pakcik Mugabe tu SEKAPAL. Joni tanya bapanya sekapal tu apa? Mack beritahu agak panjang lebar, susah Joni nak faham. Yang Joni ingat, bapanya beritahu pakcik David tu baka India, manakala pakcik Mugabe baka Afrika. Maka mereka sekapal! Tak faham Joni, tapi yang Joni tahu, pakcik David juga berkulit gelap seperti pakcik Mugabe.

Joni masih ingat, bapanya pernah beritahu dalam masyarakat mereka, hanya sekupu dibenarkan berkahwin. Selain daripada itu tak boleh kahwin kerana ada pertalian darah. Ada pertalian kekeluargaan kata Mack. Joni faham itu. Joni sentiasa ingat. Joni takkan lupa. Joni takkan melanggar adat resam. Biar mati kambing, jangan mati adat. Dan Joni juga lega kerana Sarah adalah anak makcik Tina dan pakcik David. Joni pula anak Mack dan Janet. Itu yang buat Joni teramat suka. Sampai masanya pasti dia akan berkahwin dengan Sarah kerana mereka adalah sekupu!

Entahlah, pening Joni dengan dunia perkambingan ni. Macam-macam istilah. Sepupu la, sepuku la, sekupu la, sepakat lagi, sepuki pun ada.... ni ada sekapal pula? Buat pening kepala sahaja. Kan senang kalau semua dipanggil kambing je? Tapi Joni tetap bersyukur, yang penting Joni dan Sarah adalah sekupu. Jadi setiap kali terlihat kupu-kupu, pasti Joni teringat Sarah.

Dan Joni akan tersenyum sendirian.

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!