JANOS

JANOS
Selamat Datang

Wednesday, November 12, 2008

DUNIA JONI - PENGENALAN


Joni ialah seekor kambing. Umurnya 1 tahun. Bapanya bernama Mack dan telah berusia hampir 15 tahun. Ibu Joni bernama Janet. Namun ibu Joni telah tiada kerana telah dijadikan korban pada sambutan hari raya tahun lepas. Ketika itu Joni baru berusia 2 bulan.

Sebenarnya Joni mempunyai 38 adik beradik. Seingat Joni, bapanya mempunyai 6 ekor isteri. Ibu Joni ialah isteri keempat. Dalam masyarakat kambing, seekor suami boleh beristeri seberapa banyak yang dia mampu. Lagi banyak isteri yang dimiliki, lagi gagah si bapa dalam perkampungan mereka.

Diantara 38 ekor adik beradiknya, Joni adalah yang ke 30. Maknanya Joni mempunyai 29 ekor abang dan kakak serta 8 ekor adik. Setahu Joni, hanya 38 ekor ini sajalah adik beradiknya yang sebapa. Mack pun tak pernah beritahu kalau jumlah anaknya lebih daripada itu. Mack juga tak pernah beritahu kalau-kalau ada anaknya yang telah mati, sama ada menjadi santapan manusia atau dilanggar lori Tauke Wong.

Satu perkara yang pasti, jangan tanya Joni siapa abang atau kakak sulungnya. Dia tak kenal, muka lebih kurang saja semuanya. Maklumlah, adik beradik, fikir Joni. Joni pun tak ambil peduli siapa yang paling tua. Biarlah itu menjadi tugasan bapanya. Buat apa jadi bapa kalau tak kenal anak? Anak nak banyak, takkan tak boleh kenal anak sendiri?

Joni dan keluarga besarnya ini sebenarnya tinggal di PINTU 3, ladang Pak Maarof. Ada 5 pintu semuanya. Pintu 1 adalah keluarga pakcik John, diikuti pakcik David. Pintu 4 ialah keluarga pakcik Mugabe dan akhir sekali pakcik Bentley. Joni tak tahu berapa besar keluarga jiran-jirannya itu, kalau nak tahu, tanya Pak Maarof. Apa yang Joni tahu, aweknya Sarah berada di Pintu 2, anak pakcik David. Itu Joni tahu, yang lain dia tak peduli.

Sebenarnya Sarah yang juga berusia 1 tahun adalah anak David dengan isteri ketiga Mack iaitu Tina. Tina juga adalah isteri kelima David. Kadang-kadang pening Joni memikirkan hidup sebagai kambing ni. Macam mana pula bakal ibu mertuanya juga adalah ibu tirinya pada masa yang sama? Tapi Joni tak pernah tanya. Dia malas nak ambil tahu. Sebab kadang-kadang dia juga pernah nampak bapanya dibawa oleh Pak Maarof ke Pintu 5 bertemu dengan isteri pakcik Bentley. Entahlah, mungkin inilah mudahnya hidup sebagai kambing.

Apa yang Joni tahu, dia adalah anak Mack. Ibunya Janet telah mati. Joni tinggal di ladang Pak Maarof dan awek Joni ialah Sarah anak pakcik David. Cukuplah itu yang Joni ketahui. Lagipun umurnya baru 1 tahun, dia tak perlu tahu banyak. Dan yang penting dia tahu dia adalah seekor KAMBING.

Ini adalah sebagai pengenalan kepada Dunia Joni. Semoga bertemu lagi di episod seterusnya. Jangan lupa tunggu kemunculan Dunia Joni – Ekslusif di http://janjanos.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Cerita Berkaitan

Related Posts with Thumbnails

SURE HANGPA SUKA... TAK GELAK MAKNANYA SOMETHING WRONG...

Jom Baca eBook!!!